JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta menerusi program Dapur Asnaf bagi meringankan perbelanjaan kira-kira 12,000 golongan asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid, berkata peruntukan tersebut diserahkan kepada setiap wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk disalurkan kepada golongan asnaf, yang akan berbelanja di pasar raya terpilih.
“Seramai 100 golongan asnaf di kawasan sekitar Johor Bahru dibantu kakitangan MAINJ untuk berbelanja sebanyak RM300 bagi membeli barangan keperluan, termasuk persiapan Aidilfitri. Program ini memberi peluang kepada golongan asnaf untuk membuat persiapan raya tanpa membebankan mereka,” katanya selepas melancarkan Program Belanja Dapur Asnaf 100 Keluarga dan Penyerahan Cek Sumbangan Hari Raya kepada ADUN di B5, Bandar Baru Uda, di sini semalam.
Mohd. Fared berharap setiap daerah dapat melaksanakan program itu dalam masa terdekat menjelang ketibaan 1 Syawal malah berharap umat Islam dapat membayar zakat fitrah secepat mungkin bagi memudahkan pengagihan dilakukan kepada golongan memerlukan. – UTUSAN