KUALA LUMPUR: Pernah menjadi mangsa buli, pelakon, Nina Kho Siew Ching tidak gentar untuk bersuara demi menghentikan diskriminasi terhadap bangsa dan jantina.
Menurut Nina, kelantangannya dalam mengulas isu tersebut juga merupakan refleksi atas tindakannya yang tidak berani menentang pembuli suatu ketika dahulu.
“Ramai yang beranggapan sebagai perempuan kita tidak boleh melakukan sesetengah perkara. Saya yakin jika kita belajar, kita juga mampu untuk melakukan sesuatu perkara yang lelaki mampu.
“Saya percaya kalau kita dilayan dengan tidak adil, kita kena bersuara. Kita tidak boleh benarkan orang buli.
“Sebab dulu saya selalu diam jika dibuli. Yang saya hanya mampu buat adalah menangis. Tetapi saya tidak berani nak beritahu ayah saya sebab takut mereka risau,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Bercerita lanjut mengenai isu buli, Nina memberitahu dirinya kerap dibuli sejak dibangku sekolah kerana dirinya mempunyai darah kacukan Cina Bidayuh.
“Sebagai Cina Bidayuh dan mempunyai darah kacukan, saya pernah kena buli di sekolah rendah sebab mereka tidak suka saya. Mereka ingat saya bangsa lain kerana warna kulit saya berbeza.
“Kebanyakan mereka yang berbangsa Cina mempunyai mata yang sepet tetapi saya mata besar dan bibir pula tebal.
“Segelintir sepupu yang rapat dengan saya pun ejek saya jadi saya rasa rendah diri sejak dari kecil lagi. ,” jelasnya.
Nina berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Raya Emas: Salako Sacred Treasure, pada Isnin.
Akur dengan kisah silamnya, Nina turut menyifatkan setiap individu mempunyai kecantikan yang unik malah, hanya akan dihargai oleh orang tepat.
“Apabila semakin dewasa, saya banyak ke luar negara dan mereka sering cakap saya mempunyai kecantikan yang unik. Saya juga pernah sertai beberapa pertandingan ratu cantik, mereka kata muka saya eksotik.
“Dari situ saya sedar sebagai seorang perempuan yang pernah kena kritik, sebenarnya bukan kita tidak bagus tetapi berada di tempat salah. Kalau ada di tempat yang ‘betul’, kita akan dihargai,” ujarnya.