Mahu berpoligami, buat keputusan biarlah harmoni - Ashraf Muslim - Utusan Malaysia

Mahu berpoligami, buat keputusan biarlah harmoni – Ashraf Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ashraf Muslim tampil menasihatkan setiap individu lelaki yang mahu berpoligami perlu berbincang secara teliti bersama isteri.

Menurut Ashraf, 43, perkara itu perlu dilakukan agar mendapat kata sepakat yang harmoni bersama pasangan selain berpendapat setiap perkahwinan harus dimulakan dengan baik.

“Sebelum buat keputusan bincang baik-baik dan ada toleransi sebab nak hidup bersama dan tidak mahu pengakhiran tidak baik. Apa pun keputusan dibuat biarlah harmoni.

“Benda baik harus dimulakan dengan baik, jangan perkara baik mula dengan tak baik supaya tiada kekhilafan atau kesan kurang baik selepas itu.

“Faham satu sama lain dan dapatkan keredaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi orang sekeliling juga. Saya doakan sesiapa nak buat keputusan berpoligami atau apa-apa sahaja perkara dalam hidup,” katanya.

Ashraf berkongsi pandangan tersebut berhubung pendedahan isteri kepada pelakon, Azlan Komeng, Nur Nilam yang memberitahu suaminya berhasrat untuk berkahwin lagi.

Bagaimanapun, Ashraf yang mengamalkan poligami turut menegaskan setiap pasangan yang sudah berkahwin untuk tidak menormalisasikan menjaja perihal rumah tangga di media sosial.

“Hal rumah tangga jangan uar-uarkan kepada masyarakat dan jangan aibkan antara satu sama lain. Dalam keluarga, kita perlukan kepercayaan, perkara tersebut susah nak dibina. Sekali rosak, susah nak dapatkan balik.

“Berkahwin bawa perubahan sangat besar dalam hidup, tidak kisah kahwin berapa atau bercerai. Fikir kesan dan cari solusi terbaik.

“Elakkan apa-apa kenyataan keluar dalam media sosial seperti hal dalam kain, isu periuk nasi atau cerita atas katil. Biarlah cerita antara suami dan isteri,” jelasnya ketika ditemui di sidang akhbar Gerobok Biru Gempak Gempita Raya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Dalam masa sama, pelakon drama Seribu Tahun itu turut meminta orang ramai untuk tidak menambah api serta masuk campur dalam sebarang isu bagi mengelakkan fitnah.

“Pada netizen yang melihat, apa sahaja keputusan jangan terus menghakimi sebab kita tidak tahu. Mungkin ada benda baik, kadang-kadang perkara yang baik kalau kita keruhkan akan beri kesan tak baik di sisi agama.

“Berhati-hati bila kita berkongsi dalam media sosial sebab tidak tahu spekulasi yang dibangkitkan. Sekarang banyak fitnah dilakukan jari-jemari atau keluar dari mulut,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya