SHAH ALAM: Perbicaraan terhadap pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf di Mahkamah Sesyen kekal diteruskan selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan membatalkan pertuduhan berkaitan pengabaian anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin.
Ia susulan Mahkamah Tinggi mendapati, pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka atas kesalahan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kecederaan fizikal sebagai tidak cacat termasuk intipatinya.
Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan demikian terhadap notis usul yang dikemukakan mereka pada Januari lalu apabila responden (pendakwaan) mempunyai ruang untuk membuktikan pertuduhan sementara pemohon (defenden) menjawabnya.
“Pertuduhan tersebut memiliki intipati kepada kesalahan yang dihadapi oleh tertuduh, ia adalah kehendak undang-undang bagi membolehkan pemohon-pemohon mendapat notis yang mencukupi untuk menjawab pertuduhan.
“Pihak pendakwaan mempunyai beban bagaimana membuktikan cara pengabaian itu dilakukan iaitu melalui keterangan-keterangan yang akan dikemukakan. Di samping itu, pihak pendakwaan mempunyai beban untuk membuktikan bahawa pengabaian tersebut mestilah suatu yang mungkin akan menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak tersebut,” katanya dalam alasan ringkas penghakiman.
Tambahnya, pertuduhan juga jelas menujuruskan objektif iaitu pemohon didakwa mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.
Justeru, perbicaraan terhadap pasangan tersebut diteruskan seperti biasa pada 11 Mac ini seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen pada 21 Februari lalu.
Sementara itu, salah seorang peguam yang mewakili mereka, H. Lavanesh ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu keputusan tersebut boleh dirayu di peringkat Mahkamah Rayuan.
“Terlalu awal untuk umumkan (tindakan selanjutnya) sekarang saya perlu bercakap dengan anak guam dulu dan dapatkan arahan seterusnya,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dalam prosiding 25 Februari lalu, peguam Marcus Lee yang mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka tidak menyatakan secara spesifik kesalahan dilakukan.
Menurutnya, pengabaian sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pertikaian itu dipertikaikan kerana tidak dinyatakan dengan jelas cara jenayah itu dilakukan dalam pertuduhan.
Sementara Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin selaku responden menjelaskan pertuduhan yang didakwa ke atas kedua-dua pemohon adalah jelas, tidak kabur dan tidak defektif.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka
Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN