KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) digesa melakukan perbincangan dengan organisasi pengurusan kolektif (CMO) sebelum menetapkan beberapa peruntukkan dalam Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025.
Perkara itu disuarakan Pengerusi Badan Pelindung Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Datuk M. Nasir, Pengerusi Public Performance Malaysia Berhad (PPM), Rosmin Hashim dan Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid susulan terdapat beberapa peruntukkan dalam garis panduan tersebut yang disifatkan melampaui autonomi dan kebebasan CMO dalam melindungi kepentingan pemegang hak cipta.
“MACP, PPM dan RPM menyuarakan kebimbangan berhubung Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 yang dimuktamadkan secara unilateral tanpa konsultasi dengan pihak kami.
“Pada masa sama kebanyakan peruntukkan dibawah garis panduan tersebut melampau bidang kuasa yang diperuntukkan dibawah Akta Hak Cipta 1987 dan undang-undang lain.
“Ia tidak sewajarnya diterima pakai oleh kami. Justeru kami menyeru KPDN dan MyIPO melibatkan pihak berkepentingan terutamanya CMO, secara aktif dalam perbincangan dan konsultasi. Langkah ini akan membantu membina garis panduan yang lebih komprehensif dan membolehkan hak cipta di Malaysia berkembang secara mampan dan adil,” kata mereka.
M. Nasir, Sheila dan Rosmin juga berpendirian bahawa sebarang perubahan regulatori yang mengawal selia industri hak cipta perlu dibuat secara telus, adil, dan melalui perbincangan menyeluruh bersama pihak berkepentingan.
Kata mereka, langkah pengenalan Garis Panduan ini tanpa konsultasi yang mencukupi boleh memberikan impak negatif terhadap operasi CMO yang sedia ada serta hak pemegang hak cipta dan pemain utama dalam industri muzik Malaysia.
“Kami menghargai jaminan pihak berkuasa bahawa Garis Panduan ini hanya akan dimuktamadkan selepas penglibatan menyeluruh dengan para pemegang taruh. Oleh itu, kami menggesa pihak berkuasa untuk mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pemegang taruh, terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dengan Garis Panduan CMO, bagi memastikan sebarang perubahan peraturan tidak menjejaskan kepentingan industri muzik dan pemegang hak cipta.
“Selanjutnya, kami menekankan bahawa sebarang perubahan yang memberi kesan kepada industri hak cipta perlu mengambil kira kehendak dan cabaran yang dihadapi oleh pencipta, pemegang hak cipta pihak yang bergantung kepada sistem pengurusan hak cipta yang berkesan.
“CMO telah memainkan peranan penting dalam memastikan pemegang hak cipta menerima imbuhan yang sewajarnya atas hasil kerja kreatif mereka. Sebarang perubahan terhadap sistem ini perlu memastikan hak mereka terus dilindungi tanpa gangguan yang tidak perlu,” tegasnya. – UTUSAN