MELAKA: Pengedar kereta mewah BMW dan Mini Cooper di Melaka memberi semangat kepada anak-anak kurang bernasib baik menerusi satu program berbuka puasa yang turut disertakan dengan pameran serta pengalaman menaiki kenderaan itu.
Program yang berlangsung di Bukit Katil di sini, dianjurkan oleh Seong Hoe Premium Motors sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Pengurus Besarnya, S.C. Loy berkata, program itu bukan sekadar meraikan anak-anak yatim dari Rumah Kasih Tun Abdul Aziz, Durian Daun, malah memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman menaiki beberapa jenis kereta mewah.
“Mereka juga diberikan pendedahan mengenai kenderaan ini dan lebih penting, kami mahu memberi semangat kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Dengan pendidikan yang tinggi, tidak mustahil suatu hari nanti mereka juga mampu memiliki kereta seperti ini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Tambah Loy, ia merupakan kali pertama syarikatnya mengadakan program sebegitu kerana sebelum ini, aktiviti berbuka puasa hanya berlangsung di hotel tanpa sebarang pengisian khas untuk anak-anak yatim.
“Kami mahu menjadikan program ini sebagai pemangkin semangat dan motivasi agar mereka mempunyai impian besar dalam hidup.
“Kami juga berharap ia dapat memberi galakan kepada mereka untuk mengejar kejayaan kerana ilmu mampu mengubah nasib seseorang,” ujarnya.
Pada majlis itu, lebih 30 anak yatim diraikan dan menerima duit raya manakala Seong Hoe Premium Motors turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,500 kepada wakil rumah kebajikan berkenaan.
Hadir sama menyantuni anak-anak tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem. – UTUSAN