SIK: Pasangan suami isteri yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Jalan Teloi Timur-Kampung Merbau Kudung, di sini semalam telah mengambil dan menjaga seorang anak angkat sejak pertengahan bulan lalu.
Allahyarham Lokman Hakim Mohd. Shukri, 23, dan Intan Suraya Zaidi, 24, mengambil seorang kanak-kanak perempuan, Shazwani Abdul Rahman, 12, yang yatim piatu setelah kematian ibu bapa ketika pandemik Covid-19 dahulu.
Menurut nenek kepada Intan Suraya iaitu Rokiah Shaari, 66, cucu sulungnya itu mendirikan rumah tangga dengan Lokman Hakim pada Jun tahun lalu dan mereka terlibat kemalangan maut itu hanya kira-kira satu kilometer sebelum tiba di rumah.
“Selepas sesi bergambar di Baling, mereka berdua terus pulang ke Kulim dan saya tidak sangka cucu yang saya jaga sejak berusia 41 hari itu akan pergi seawal ini.
“Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Ilahi, mereka pergi pada bulan yang baik dan sedang berpuasa,” katanya ketika ditemui di perkarangan Surau Kampung Charuk Pelanduk, di sini, hari ini.
Arwah Lokman Hakim dan Intan Suraya selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Pelanduk, kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
Kedua-dua mereka meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta Perodua Myvi dipandu Lokman Hakim hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan dalam nahas pada pukul 4:15 petang, semalam.
Tambah Rokiah, Intan Suraya juga membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri secara luar biasa pada tahun ini dengan membeli pelbagai kelengkapan seperti pakaian, kuih raya dan barangan lain untuk kesemua ahli keluarganya.
“Rupa-rupanya mungkin itu petanda dia ‘pergi’ dahulu. Intan beritahu kali ini dia hendak habiskan duitnya dengan membeli segala kelengkapan tersebut termasuk tukar duit raya yang banyak untuk diberikan kepada kami sekeluarga.
“Dia juga baru siap mengecat biliknya untuk diserahkan kepada adik bongsunya, Iman Firdaus, 10, selepas ini,” katanya. – UTUSAN