Lima termasuk dua warga Taiwan berdepan hukuman mati

Lima termasuk dua warga Taiwan berdepan hukuman mati

EMPAT daripada lima lelaki, dari kanan Chow Zhi Peng, Yeap Jun Le, Liu Yu Ting dan Peng Wei Sung didakwa atas tuduhan mengedar dadah di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Lima lelaki, termasuk dua warganegara Taiwan berdepan hukuman mati atas tiga pertuduhan mengedar dadah, awal bulan ini.

Kesemua tertuduh, Liong Boon Siong, 27,  Chow Zhi Peng, 30, dan Yeap Jun Le, 22, serta dua warga Taiwan, Peng Wei Sung dan Liu Yu Ting mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah majistret berasingan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi. 

Di hadapan Majistret Nabilah Nizam, Boon Siong dituduh mengedar dadah jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 20 kilogram (kg) dan methamphetamine 3.8 kg di Jalan Seroja, Ledang Height, Iskandar Puteri pada pukul 4.15 petang, 6 Mac lalu.

Dia didakwa  di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah dikenakan sebat yang tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Hafizatul Shahirah Jamarin.

Sementara itu, di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, empat lelaki termasuk dua warganegara Taiwan itu didakwa mengedar dadah jenis MDMA sebanyak satu liter di Jalan Laman Setia 5/5, Setia Eco Gardens, Gelang Patah kira-kira puku 12 tengah hari, 6 Mac lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, manakala semua tertuduh diwakili peguam bela Naizatul Zamrina Karizaman.

Mahkamah menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya