KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dikenali sebagai ‘Lim Voi Heng’ sedang diburu polis selepas disyaki menipu urusan jual kereta Lamborghini Aventador S bernilai RM2.4 juta sejak tahun 2020.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan ahli perniagaan pada 19 Februari lalu.
“Menurut pengadu, pada sekitar bulan Jun 2020, kenalannya, Lim Voi Heng (suspek) menawarkan untuk membeli sebuah kereta Lamborghini Aventador S yang bernilai RM2.4 juta.
“Pengadu telah beberapa kali berjumpa suspek dan turut memandu uji sebuah kereta jenis sama di sebuah syarikat permotoran beralamat di Puchong, Selangor,” katanya ketika sidang akhbar JSJK di Menara KPJ di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa turut ditunjukkan borang import Kastam bagi membuktikan bahawa kereta yang ingin dibelinya telah diimport masuk ke Malaysia.
Jelasnya, sejak 15 Jun 2020, pengadu telah membuat 18 kali bayaran ke akaun sebuah syarikat yang diarahkan oleh suspek.
“Bagaimanapun, pada Januari 2022, pengadu telah menerima beberapa gambar dokumen notis sitaan bagi kereta yang ingin dibelinya.
“Suspek berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dan menguruskan pendaftaran serta pindah milik kereta tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, sehingga kini mangsa tidak menerima kereta yang dijanjikan malah suspek juga telah menghilangkan diri dan tidak lagi dapat dihubungi.
“Justeru, pegawai penyiasat sedang mengesan Lim Voi Heng yang mempunyai alamat terakhir di No. 703, Pangsapuri Sri Indah, Jalan Sg Besi Indah 2, Taman Sungai Besi, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan penama ini bolehlah menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ruzanna Khairion di talian 010-4425916. – UTUSAN