Liga Super: KL City tambah luka KDA - Utusan Malaysia

Liga Super: KL City tambah luka KDA

SEAN Gan Gianelli (kanan) meraikan gol jaringannya yang membawa kemenangan 3-2 ke atas KDA FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi. - IHSAN KL CITY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Situasi tidak menggembirakan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dihimpit masalah kewangan terus berlarutan apabila tewas dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, dua gol oleh pemain naturalisasi negara, Paulo Josue membantu KL City FC mencatat kemenangan 3-2 sekaligus membawa pulang tiga mata.

KDA FC berpeluang mendapat gol sulung seawal minit ke-3 namun percubaan Milos Gordic hasil bola muntah daripada dakapan Hafizul Hakim berjaya dihalang penjaga gol KL City itu.

Milos akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-25 setelah melepaskan rembatan daripada hantaran Ebenezer Assifuah dari bahagian kanan pintu gol untuk menewaskan Hafizul Hakim.

Hasrat KDA FC menamatkan babak pertama dengan tenang tidak kesampaian setelah Josue menyamakan kedudukan sebelum menuju ke bilik persalinan. Dia berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang pertahanan, Kamal Azizi pada minit ke-45.

Memasuki babak kedua, KL City tampak lebih bernafsu untuk menambah jaringan. Usaha berganda pelawat kemudiannya membuahkan hasil apabila Josue berjaya menambah jaringan menerusi rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit 62.

Namun Sang Kenari tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Fadzrul Danel yang menggantikan Milos berjaya mencipta jaringan tiga minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Gol kemenangan dicari KL City akhirnya tiba menerusi pemain tengah gantian, Sean Gan Gianelli yang bijak memperdaya pertahanan tuan rumah sebelum menyungkit bola dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-85. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya