CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya memproses kesemua permohonan bantuan tunai kerajaan yang diterima pada 2024 dengan jumlah keseluruhan penerima seramai 8,685,024 orang dan peruntukan sebanyak RM6.77 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, pada masa sama, pihaknya berjaya mengaudit dan menyiasat 70,702 kes melibatkan pelbagai industri terpilih dengan jumlah keseluruhan taksiran cukai tambahan berjumlah RM5.5 bilion.
Katanya, kejayaan itu hasil daripada aktiviit pematuhan dan penguatkuasaan dijalankan secara terancang dengan memberi tumpuan kepada industri tertentu.
“Tahun 2024 juga merupakan detik bersejarah peluncuran e-Invois di mana pembangunan sistem e-Invois dan ketersediaan pembayar cukai fasa pertama untuk mengguna pakai sistem baharu ini adalah kurang dari satu tahun.
“Ia suatu tempoh luar biasa yang kini menjadi kayu pengukur dan rujukan oleh negara-negara di seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-25 di sini, hari ini.
Tambah Abu Tariq, pihaknya juga terus komited membantu dan memastikan komuniti perniagaan keseluruhannya berjaya melaksanakannya kelak, susulan proses sistem itu masih panjang.
“Jadi, pada tahun ini, kami akan memberi tumpuan utama kepada pelaksanaan e-Invois, pembesaran asas cukai, aktiviti penguatkuasaan, Tax Corporate Governance dan Global Minimum Tax.
“Sistem taksir sendiri pula dilaksanakan bagi duti setem, cukai keuntungan harta tanah dan cukai aktiviti perniagaan Labuan,” jelasnya.
Selain itu, LHDN juga akan memperkenalkan beberapa produk baharu termasuk Tekad Hasil 2026-2030.
Katanya, ia merupakan suatu pernyataan awal aspirasi dan komitmen pengurusan atasan bagi memastikan LHDN terus relevan dan berkesan melaksanakan tanggungjawab memacu pertumbuhan ekonomi negara untuk tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN