PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lawyers for Liberty (LFL) mempertikaikan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tergesa-gesa bersetuju merasmikan pembinaan masjid di tapak yang masih dalam pertikaian.
Pengarah Eksekutif LFL, Zaid Malek berkata, rundingan antara pihak pengurusan kuil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih berjalan, namun Anwar sudah menetapkan 27 Mac ini sebagai tarikh perasmian majlis pecah tanah.
“Anwar mendakwa kuil itu berada di atas tanah persendirian tanpa kelulusan sah. Ini menunjukkan ketidaktahuan serius mengenai sejarah dan keadaan isu tersebut.
“Tidak dapat diterima bahawa beliau menganggap sesuai untuk memindahkan kuil bagi membina masjid. Adakah ini selaras dengan prinsip reformasi dan kepentingan negara berbilang agama?” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Perdana Menteri menasihatkan pihak tertentu agar tidak menjadi ‘jaguh’ dalam isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang terletak di atas tanah milik syarikat Jakel dan mengingatkan pihak luar agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum. – UTUSAN