KEPALA BATAS : Hidangan kambing golek pada majlis berbuka puasa, rumah terbuka atau kenduri-kendara mungkin kedengaran agak biasa bagi kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini.
Lari daripada kebiasaan itu, penganjur Karnival Mahabbah di Bertam Square di sini tampil dengan kelainan tersendiri apabila menjamu para tetamu dengan hidangan lembu golek untuk majlis berbuka puasa, semalam.
Kelainan yang cuba ditampilkan itu nyata ‘menjadi’ apabila lebih 1,000 pengunjung membanjiri karnival berkenaan untuk berbuka puasa bersama 200 talam hidangan lembu golek secara percuma dalam program ‘Iftar On The Road’ di sini.
Menurut penganjur, Zaini Aboo Hassan, dua ekor lembu yang setiap satunya seberat kira-kira 200 kilogram (kg) telah ditempah untuk menjayakan program berkenaan.
Kata Zaini, beliau turut mengupah 10 kru termasuk beberapa tukang masak berpengalaman untuk menyediakan juadah tersebut secara tradisional dengan adunan 24 jenis herba dan rempah ratus istimewa.
“Cara golek sama seperti kambing kerana kita menggoleknya lembu itu seekor terus tanpa memotong mana-mana bahagian pada haiwan tersebut.
“Ini antara keunikan yang dibawa pada karnival kali ini kerana kita mahu setiap pengunjung yang datang mengingati akan kelainan yang ditampilkan sepanjang program berbuka puasa diadakan di sini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tahun lepas, karnival yang sama juga mencuri tumpuan apabila penganjur menyediakan hidangan unik iaitu kurma kepala kambing sebagai juadah berbuka puasa untuk program ‘Iftar On The Road’.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Sharmila Omar, 36, memberitahu, dia datang ke karnival tersebut bersama keluarga selepas melihat iklan yang disiarkan dalam laman Facebook mengenai program terbabit sebelum ini.
“Agak teruja juga mahu merasa lembu golek itu kerana ini kali pertama saya melihat lembu digolek selain ayam dan kambing,” katanya dengan nada berseloroh.
Bagi seorang lagi pengunjung, Siti Suaidah Mohd Kamal, 30, dia dan keluarga pada mulanya datang ke karnival tersebut hanya untuk membeli baju raya sahaja.
“Secara kebetulan, kami nampak ada poster mengenai majlis berbuka puasa dengan lembu golek secara percuma. Jadi, teringin jugalah nak mencubanya,” katanya yang datang dari Yan, Kedah.-UTUSAN