KUALA KANGSAR: Dapat menyelamatkan bapanya yang menghidap strok dan adik perempuannya yang sindrom down sewaktu rumah mereka dijilat api memberi kelegaan buat Muhammad Faiz, 42, dalam kejadian di sini semalam.
Ketiga-tiga mereka cemas apabila rumah dua tingkat yang dihuni mereka di Taman Chandan Putri di sini terbakar pada pukul 5.56 petang semalam yang memusnahkan dua buah kereta dalam halaman rumah.
Menceritakan detik tersebut, Muhammad Faiz berkata, dia sebelum itu baru pulang dari membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan kemudian menyiapkan makanan sambil menantikan waktu berbuka puasa.
Selepas itu, dia naik ke atas dan tiba-tiba terdengar orang menjerit ;api-api’ dari luar rumah, dan dia terus bergegas turun ke ruang bawah untuk melihat kebakaran yang berlaku.
Melihat keadaan tersebut, mereka lantas cuba menyelamatkan diri dalam keadaan terkejut melihat api yang marak.
“Saya bersama keluarga cuba untuk menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu hadapan. Namun dengan keadaan api yang marak serta bahang panas. Kami mengubah fikiran untuk keluar melalui pintu belakang,” katanya.
Katanya, dalam keadaan yang kelam kabut dia cuba menyelamatkan adiknya manakala bapa yang strok turut berhempas-pulas untuk melangkah keluar dari rumah tanpa menggunakan tongkat walaupun selama ini bergantung kepada alat bantuan tersebut.
“Saya reda dengan keadaan yang berlaku ini di bulan Ramadan. Kami kini sehelai sepinggang kerana tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda dan barangan penting,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan rumah berkenaan terbakar sebanyak 90 peratus, manakala dua kereta jenis Naza dan Proton Persona masing-masing terbakar 70 peratus dan 40 peratus.
Mereka bertiga kini menumpang di rumah keluarga terdekat dan Muhammad Faiz bersama adik-beradiknya kini sedang menguruskan dokumentasi ekoran kejadian tersebut. – UTUSAN