SEREMBAN: Walaupun dalam bulan Ramadan, seorang lelaki sanggup memecah masuk dan memgumpil tabung sebuah surau di Mambau di sini sebelum melarikan duit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi, Sabtu lalu, pihak polis telah menerima laporan daripada bilal masjid mengatakan tabung surau telah diumpil.
“Semakan pada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan kehadiran seorang lelaki tidak dikenalpasti memakai topi keledar dan jaket berwarna gelap dari arah belakang surau.
“Suspek dipercayai memecah masuk surau dengan memotong kunci yang terdapat pada pintu jeriji besi sebelah kanan surau menggunakan gerudi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudiannya menggunakan alat untuk mengumpil kunci tabung yang tidak bermangga dan memasukkan wang kutipan derma ke dalam sebuah beg.
Sebelum ini tular sebuah rakaman video berdurasi lima minit 41 saat memaparkan seorang lelaki sedang mengumpil tabung sebuah surau di Mambau di sini.
Penduduk mendakwa suspek dikatakan menaiki motosikal berkuasa tinggi dan sebuah kereta jenis Proton X50 mengambil masa lenih kurang 30 minit untuk memecahkan tabung surau tersebut.
Tambah beliau, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan giat memburu suspek.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd. Hazrat Abdul Rashid di talian 011-61929004,” katanya. – UTUSAN