SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan terjatuh ketika memasang pukat di Sungai Perlus di Kampung Chenein, Lasah di sini Selasa lalu, ditemukan lemas hari ini.
Mayat Amran Ahin berusia 43 tahun dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jarak 10 kilometer dari lokasi lelaki itu terjatuh pada pukul 7 petang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa dijumpai kumpulan tiga disertai anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang melakukan pencarian bersama.
Katanya, mangsa ditemukan tersangkut pada ranting kayu dan buluh di Kampung Ara, Felda Lasah pada pukul 12.52 tengah hari.
“Kumpulan tiga yang menaiki dua buah bot itu menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai sebelum menemukan mayat mangsa dalam keadaan terapung dan tersangkut.
“Anggota penyelamat segera mengangkat mayat lelaki itu untuk dibawa ke tebing dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi disertai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dibantu tiga anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Ipoh dan lima anggota PPDA BBP Kuala Kangsar.
“Selain bantuan dari K9 bomba, operasi turut disertai pasukan polis dan APM menggunakan lima buah bot aluminium dan fiber. Operasi ditamatkan pada pukul 1.30 petang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pelus bersama anak lelaki berusia lapan tahun ketika sedang memasang pukat di sungai itu kelmarin.
Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada berhampiran lokasi kejadian manakala mangsa dihanyutkan arus deras. – UTUSAN