SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Persiaran Negeri berhampiran lampu isyarat sebuah hospital swasta dekat Nilai di sini, pagi tadi.
“Kejadian berlaku pada pukul lebih kurang 6.55 pagi dan berdasarkan siasatan awal, lori yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 45 tahun dalam perjalanan dari arah Sepang, Selangor menghala ke Nilai.
“Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kereta Perodua Alza yang sedang bergerak di lorong kanan telah hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang lampu dan batu pembahagi jalan di tengah jalan.
“Kemudian kereta itu berpusing dan masuk ke lorong kiri lalu dilanggar oleh lori yang sedang bergerak terus di lorong kiri. Akibat kemalangan itu, pemandu kereta berusia 26 tahun mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, kes telah disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, difahamkan, nahas terbabit berlaku pada jarak lebih kurang 400 meter dari lokasi kemalangan membabitkan dua buah lori dan dua buah kereta yang menyebabkan kematian seorang wanita pada 26 Februari lalu.