KUANTAN: Seorang lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dari Jambatan Putra di sini, malam kelmarin ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa yang berusia 22 tahun dan bekerja di sebuah kilang di Gebeng itu ditemukan terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan mayat mangsa pada pukul 8.15 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.43 malam kelmarin, mangsa dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Kuantan. Kejadian itu disedari apabila seorang saksi melihat sebuah motosikal dengan enjin masih hidup tetapi tanpa pemilik di atas jambatan.
Turut ditemukan telefon dalam keadaan masih berhubung secara panggilan video dengan seorang wanita dipercayai bekas teman wanita mangsa. – UTUSAN