ALOR SETAR: Suspek yang dipercayai membunuh dan membakar ibunya di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman ke atas lelaki berusia 43 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental itu dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan kerana membunuh.
Ujian urin ke atas suspek didapati negatif dadah dan tiada rekod kesalahan lampau. Difahamkan, dia didiagnos mengalami masalah mental pada Disember 2019.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang wanita warga emas ditemukan maut dalam kejadian amuk membabitkan anak lelakinya yang mengalami masalah mental di sebuah kediaman di Jalan Tok Keling, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa berusia 68 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbakar di dalam rumah itu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, anak suspek berusia 14 tahun yang tinggal serumah memberitahu, dia terdengar pertengkaran yang berlaku antara bapanya dengan si mati iaitu neneknya.
Katanya, remaja itu mendengar jeritan neneknya meminta tolong sebelum dia kemudian keluar dari bilik dan melarikan diri dari rumah untuk meminta bantuan jiran berdekatan.
“Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku namun telah diancam oleh suspek menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN