IPOH: Seorang lelaki berusia 62 tahun yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat penemuan lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terkurung di dalam bilik hotel itu dilaporkan kepada polis pada pukul 4.20 petang.
Katanya, pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati lelaki terbabit telah meninggal dunia namun tiada kesan kecederan lain dijumpai pada tubuh mangsa.
“Mayat mangsa yang ditemukan dalam keadaan terlantar di atas katil telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat esok bagi mengetahui punca kematian.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur perbuatan jenayah dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, laporan kehilangan lelaki terbabit dibuat keluarga pada Selasa lalu selepas dia kali terakhir dilihat keluar dari kediaman di Taman Pulai Heights, Kampung Kepayang dengan memandu kereta jenis Honda Accord.
“Bertindak atas aduan itu, usaha mencari mangsa dijalankan dengan satu kertas siasatan orang hilang dibuka bagi mengesan lelaki berkenaan,” katanya. – UTUSAN