PARIT BUNTAR: Seorang pekerja kontrak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa pasangan suami isteri di Kuala Kurau, minggu lalu.
Tertuduh, Ng Ju Han, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa telah memandu kereta jenis Honda City di bawah pengaruh dadah menyebabkan dia tidak boleh mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kematian Baharudin Ahmad, 59, dan Wan Saniah Wan Ismail, 66,
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dari arah Kuala Kurau menghala Tanjung Piandang di dalam daerah Kerian pada pukul 7.50 pagi, 5 Mac 2025.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 44(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 namun tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Ruhan ‘Imran Abdul Halim memohon jaminan minimum atas alasan perlu menanggung ibu bapa dengan pendapatan sebanyak RM2,200 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin dalam kalangan ahli keluarga dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 18 April depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.
Dalam kejadian pada pukul 7.50 pagi itu, kereta Perodua Kelisa dipandu Baharudin bertembung dengan kereta Honda City menyebabkan pesara polis itu dan isterinya mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kejadian itu turut menyebabkan remaja lelaki berusia 13 tahun yang merupakan anak angkat pasangan terbabit cedera. – UTUSAN