PORT DICKSON: Seorang lelaki cedera dalam kejadian kebakaran sebuah rumah banglo di Batu 3, Lukut, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran berkenaan kira-kira pukul 11.04 malam.
Menurutnya, sepasukan 17 anggota bomba dan pegawai dari BBP Port Dickson, Rantau dan Telok Kemang dikejarkan ke lokasi dan jentera pertama tiba pada pukul 11.11 malam.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian didapati benar berlaku kebakaran rumah jenis banglo berukuran 22×80 kaki. Operasi terkawal sekitar pukul 11.43 malam.
“Dalam kejadian ini, seorang mangsa berusia 56 tahun yang cedera telah dibawa ke hospital oleh ahli keluarga sebelum PKO tiba di lokasi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Kamal lagi, dalam kejadian itu juga terdapat tiga individu lain yang berada dalam rumah sama namun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Dua individu iaitu lelaki dan wanita warga emas masing-masing berusia 79 dan 75 tahun dan seorang wanita warga asing yang merupakan pembantu rumah berusia 40-an selamat.
“Dianggarkan kediaman tersebut musnah sebanyak 90 peratus dan operasi memadam kebakaran tamat pada pukul 12.50 tengah malam. Punca dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.