PETALING JAYA: Kira-kira lebih 51,000 buah kedai yang akan terlibat dalam larangan mempamerkan produk rokok di kaunter penjualan bermula 1 April ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata, penguatkuasaan yang dirancang telah dibahagikan kepada penguatkuasaan serta merta dan penguatkuasaan secara berfasa.
Katanya lagi, setelah menilai keberkesanan dan praktikaliti pelaksanaan di beberapa negara lain, kaedah paling sesuai untuk melaksanakan larangan pameran ini adalah dengan menyediakan almari bertutup, berbanding hanya menggunakan kain atau kanvas.
“Perkara ini sangat penting bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan yang boleh memberi ruang kepada aktiviti promosi secara tidak langsung yang bertentangan dengan semangat dan maksud larangan pameran tersebut.
“Justeru, KKM akan terus bekerjasama dengan pekedai untuk memastikan pemasangan almari bertutup dibuat mengikut spesifikasi dan pematuhannya dipantau rapat dari semasa ke semasa.
“Proses ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang 1 Oktober 2025,” katanya hari ini.
KKM berkata, pihaknya sentiasa memastikan setiap peraturan dipatuhi mengikut tempoh yang ditetapkan, termasuklah dengan penguatkuasaan pendidikan dan advokasi yang dijalankan secara berterusan Sejak penguatkuasaan Akta ini
“Bagi memastikan pematuhan terhadap kawalan yang ditetapkan, KKM telah menetapkan pendekatan penguatkuasaan secara berfasa yang berhemah, berhikmah dan berkesan,” katanya. – UTUSAN