PUTRAJAYA: Lebih 5,000 komuniti pemilik dan peminat kenderaan pacuan empat roda (4X4) dari seluruh Malaysia bakal berhimpin dalam acara Truck Fighter Meet & Show Event 1.0 pada 25 Mei depan.
Penganjur acara itu, Zaki GM Garage, Azmar Zaki Ayub berkata, acara tersebut akan diadakan di pekarangan Parking Stadium Shah Alam, Selangor yang turut melibatkan komuniti 4X4 dari negara Thailand.
Menurut beliau, acara ini bertujuan memperkukuh solidariti dalam kalangan pemilik 4X4 serta menghargai peranan mereka dalam kerja-kerja sukarelawan, terutamanya dalam operasi menyelamat ketika bencana banjir.
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada usahawan bengkel 4×4 untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada khalayak yang lebih luas.
“Acara ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran dan pertandingan autoshow dengan 21 kategori unik serta cabutan bertuah utama iaitu sebuah Toyota Hilux serta pelbagai hadiah menarik seperti sport rim 4×4, set tayar dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hadiah cabutan bertuah utama berupa Toyota Hilux itu turut dipamerkan selepas sesi sidang akhbar itu yang dihadiri pelbagai komuniti 4X4 di Malaysia sebagai tanda sokongan kepada penganjuran program ini.
Azmar berkata, jika sambutan kali ini memberangsangkan, acara ini bakal dijadikan sebagai acara tahunan bagi merancakkan lagi industri permotoran di Malaysia.
Pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan semua peminat 4X4 dan orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan acara ini. – UTUSAN