Lebih 4,700 bakat profesional pulang berkhidmat

Lebih 4,700 bakat profesional pulang berkhidmat

ABDUL Rahman Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 4,730 bakat profesional Malaysia yang sebelum ini menetap di luar negara telah kembali berkhidmat di tanah air sejak pelaksanaan Program Kepulangan Pakar (REP) pada 2011 hingga tahun lalu. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada jumlah tersebut, 7,241 permohonan telah diluluskan, manakala 4,730 individu telah kembali berkhidmat di Malaysia.

Beliau berkata, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menerima sebanyak 11,402 permohonan daripada bakat profesional Malaysia di luar negara sejak pelaksanaan program tersebut.

Justeru, katanya, program REP adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk menangani fenomena penghijrahan tenaga mahir dan memperkukuh pembangunan modal insan berkualiti bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Pelbagai insentif ditawarkan kepada diaspora Malaysia dalam program REP seperti kadar cukai rata sebanyak 15 peratus ke atas pendapatan pekerjaan selama lima tahun dan pengecualian cukai bagi barangan peribadi (kecuali kenderaan bermotor).

“Kerajaan turut menawarkan pengecualian duti eksais sehingga RM100,000 bagi pembelian kenderaan pemasangan tempatan,” katanya di Dewan Negara hari ini bagi menjawab pertanyaan Senator Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah mengenai langkah kerajaan dalam membendung kehilangan bakat di masa hadapan.

Abdul Rahman berkata, fenomena migrasi bakat kini telah berubah daripada penghijrahan tenaga mahir kepada penghijrahan tenaga mahir, di mana diaspora Malaysia yang berada di luar negara masih boleh menyumbang kepada pembangunan negara secara aktif menerusi inisiatif seperti Malaysia@Heart (MyHeart).

“MyHeart membolehkan rakyat Malaysia di luar negara terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui kepakaran dan rangkaian mereka, walaupun tidak kembali ke tanah air secara fizikal.

“Selain usaha membawa pulang bakat tempatan, kerajaan turut memberi perhatian kepada peningkatan struktur gaji bagi memastikan tenaga kerja berkualiti mendapat imbuhan yang setimpal.

Abdul Rahman berkata, Kementerian Sumber Manusia melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan TalentCorp telah menjalankan kajian Projek Rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) bagi menilai keberkesanan dasar ini dalam meningkatkan kesejahteraan pekerja.

“Kajian ini bukan sahaja mengambil kira pengalaman dan senioriti pekerja, tetapi kelayakan akademik serta tahap kemahiran yang dimiliki.

“Langkah ini diharap dapat mengurangkan penghijrahan tenaga kerja mahir ke luar negara dan menarik lebih ramai profesional Malaysia untuk kembali berkhidmat di tanah air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya