TAPAH: Lebih 2.4 juta kampit beras putih tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi 10 kilogram (kg) berada dalam pasaran yang memberi manfaat kepada jutaan pengguna.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini, sebanyak 2,621,248 beg telah sampai di pasar raya dan kedai mini bandar-bandar utama.
“Tetapi ada di kawasan pedalaman yang belum sampai. Kita harap pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dapat memainkan peranan supaya yang belum sampai kita segerakan.
“Jentera kita akan cuba masuk, pengedar, ahli perniagaan supaya mereka dapat beli (beras) dengan harga yang lebih murah (golongan B40),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Libat Urus Bersama Pimpinan Peladang Negeri Perak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Tapah, Mat Jailani Arshad @ Ali.
Kata Mohamad, sebanyak 24 juta kampit beras berada dalam pasaran bermula bulan ini sehingga lima bulan akan datang yang memberikan manfaat terutamanya kepada golongan miskin dan B40.
“Masuk ke kampung memang sukar sikit tetapi kalau di bandar bukan jadi rebutan kerana bagi mereka yang ‘middle class’ (golongan M40) guna beras berharga RM33 berbanding RM26 jadi mereka tidak kisah sangat.
“Tetapi kita mesti gerakan (beras bersubsidi 10 kg) di kampung-kampung kerana mereka perlu harga yang lebih rendah,” katanya.
Media melaporkan bekalan BPT yang telah lama hilang mula beredar dalam pasaran bulan ini di seluruh Semenanjung selain turut dipasarkan di Program Jualan Rahmah Madani. – UTUSAN