TELUK INTAN: Lebih 1,000 orang menyertai program berbuka puasa di kawasan terbuka di Padang Speedy di sini, baru-baru ini.
Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sukarelawan Aspirasi Teluk Intan (Satin) itu meneruskan acara yang dimulakan sejak 10 tahun lalu pada setiap kali Ramadan.
Pengerusi Satin, Najihah Muhaimim berkata, program berbuka puasa di kawasan lapang itu dinamakan Piknik Ramadan bertemakan pakaian berwarna putih.
Katanya, walaupun cuaca mendung dan hujan renyai menjelang waktu berbuka, pengunjung yang datang tidak berganjak sebaliknya terus menunggu utuk menikmati juadah yang dibawa.
“Acara ini diadakan setiap tahun dan masih diteruskan pada tahun ini. Acara ini unik, mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai pihak NGO, jabatan dan agensi kerajaan dan pengunjung yang datang tanpa mengira peringkat umur, termasuk kanak-kanak.
“Tahun ini lebih 1,000 orang hadir berbuka puasa di padang ini termasuk pengunjung dari luar Teluk Intan antaranya dari Pasir Salak dan Bagan Datuk yang mahu merasai suasana meriah semasa berbuka puasa,” katanya.
Najihah berkata, program itu dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga dan rakan-rakan yang berjumpa dalam suasana menceriakan ketika berbuka.
“Suasana sebegini hanya dapat dilihat semasa bulan puasa sahaja. Kita akan meneruskan program ini pada masa akan datang dan percaya ia akan menjadi program yang disukai masyarakat,” katanya. – UTUSAN