PETALING JAYA: Landskap Kecerdasan Buatan (AI) dan semikonduktor negara bakal berubah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan syarikat teknologi dari United Kingdom.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Malaysia kini menjadi rakan ekosistem teknologi pertama bagi syarikat tersebut di ASEAN, sekali gus menjadikannya hab utama teknologi di rantau ini.
Katanya pemeteraian perjanjian itu merupakan usaha Kerajaan Madani dan beberapa kementerian lain.
“Beberapa kementerian telah terlibat merealisasikan usaha ini seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Kewangan, serta Kementerian Ekonomi,” katanya semasa Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pagi tadi.
Menurut beliau, Malaysia juga merupakan negara pertama di Asia Tenggara di mana syarikat berkenaan akan membuka pejabatnya.
“Kerjasama ini membuka peluang luas kepada syarikat tempatan untuk memanfaatkan teknologi dan kepakaran canggih dalam industri semikonduktor.
“Langkah ini juga diharapkan dapat melatih tenaga kerja mahir tempatan, mempercepatkan pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya saing sektor teknologi negara,” jelasnya.
Menurut Tunku Nashrul, pelancaran kerjasama itu juga membuktikan keyakinan pelabur global terhadap dasar Kerajaan Madani sekali gus meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi. – UTUSAN