PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri berhasrat menimang anak kedua pada tahun hadapan.
Jelas Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, impian itu semakin kuat setelah anaknya, Nur Khawla Soleha atau Lala yang meminta penyanyi itu memberikannya ‘peneman’.
“Khawla ada juga tanya, saya tidak mahu berikan dia adikkah? Saya tanya siapa yang ajar? Mungkin nenek dia.
“Dia pandai cakap, ‘Lala mahu bayi kecil dari dalam perut ibu. Lala nak sayang baby’.
“Lagipula Khawla sudah besar dan mula faham. Di rumah pun dia berkawan dengan orang dewasa. Tiada yang sebaya dia di rumah. InsyaAllah tunggu dia besar sikit,” cerita Ernie ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Enggan tergesa-gesa untuk hamil, Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-32 merasakan tahun hadapan adalah masa yang sesuai melihat kepada perjalanan kerjayanya dan suami yang padat tahun ini.
“Dengan pekerjaan seperti kami, jika mahu tambah anak memang kena ada perancangan. Saya tidak boleh tiba-tiba mengandung.
“Syamel pula ada perancangan mahu lancarkan album, saya enggan fokus dia teralih. Ada anak bukan satu perkara mudah, memerlukan komitmen besar,” tambahnya.
Ernie dan Syamel berkahwin pada 22 Mac 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Khawla Soleha yang kini berusia tiga tahun. -UTUSAN