Lakukan pemeriksaan mengejut, bendung kes buli di sekolah

Lakukan pemeriksaan mengejut, bendung kes buli di sekolah

AZMAN ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemeriksaan me­nge­jut hendaklah dilakukan oleh pengurusan sekolah terutamanya sekolah berasrama, sekiranya dirasakan ada ke­perluan bagi mengelak masalah disiplin termasuk kes buli.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, keberadaan guru atau warden hendaklah dapat dirasai penghuninya sepanjang masa dan pemeriksaan ke bilik-bilik penginapan murid serta bilik-bilik lain perlu dilakukan secara kerap dan berjadual.

Ujarnya, setakat Oktober tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan sebanyak 6,208 kes buli melibatkan murid sekolah menerusi maklumat yang diterima melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

Jelasnya, bagaimanapun angka itu menunjukkan penurunan berbanding 6,528 kes pada 2023 dan 3,883 kes tahun sebelum­nya.

Tegasnya, pengetua dan guru besar yang didapati cuba menyorok kes buli boleh dikenakan tindakan.

Katanya, KPM menyediakan platform khas iaitu portal aduan buli bagi membolehkan orang awam, sama ada ibu bapa atau penjaga atau mangsa buli sendiri membuat aduan terus kepada kementerian.

“Pelbagai cara boleh digunakan untuk menyalurkan apa juga aduan antaranya melalui talian khas aduan buli, e-mel: [email protected] atau me­lalui aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM sedia ada.

“Peti aduan murid turut disediakan bagi memudahkan murid membuat aduan sekiranya berlaku kejadian buli di sekolah dan di asrama.

“Oleh itu, masyarakat harus menggunakan saluran tepat dan betul terutama untuk melaporkan kes buli daripada terus menyebarkan kes buli melalui media massa atau laman sosial tanpa ada tindakan yang sewajarnya daripada pihak yang sepatutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Azman, melalui saluran aduan yang betul, semua tindakan dapat diambil segera mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bila­ngan 12 Tahun 2023 Pelaksa­naan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli Di Institusi Pendidikan Bawah KPM.

Jelasnya, masyarakat juga tidak perlu ragu-ragu atau bimbang untuk membuat aduan kerana semua maklumat yang diterima adalah rahsia.
“Semua kes buli perlu dilaporkan termasuk merekodkan salah laku dalam SSDM,” katanya.

Azman berkata, KPM me­laksanakan Program Gerakan Kepimpinan Madani: Hentikan Salah Laku Buli dan Seksual yang dimulakan untuk menyam­paikan mesej pengurusan tertinggi dalam memastikan gejala buli dihentikan di sekolah.

Program itu melibatkan ke­semua 10,235 buah sekolah KPM dengan penyertaan lebih lima juta murid dari seluruh negara bermula 15 Disember 2024 hingga 13 Januari 2025 bagi sesi persekolahan 2024/2025.

Katanya, usaha ini akan dite­ruskan pada sesi persekolahan 2025/2026 supaya mewujudkan satu ekosistem yang selamat dan harmoni kepada semua murid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya