Lagu raya kini tiada kesyahduan - M Nasir

Lagu raya kini tiada kesyahduan – M Nasir

m nasir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai seorang komposer bertaraf lagenda tanah air, Datuk M Nasir, adalah antara pencipta lagu dan penyanyi yang sangat dihormati oleh peminat seni muzik tempatan.

Malah, kalau dikaitkan dengan penghasilan lagu-lagu sempena sambutan dan suasana hari raya, M Nasir juga antara penyanyi yang diminati berikutan banyak menghasilkan lagu-lagu sebegitu.

Air tangannya dalam menggarap lagu-lagu raya juga sangat menjadi dan berikutan itu, ramai juga kalangan artis lain yang menginginkan sentuhan M Nasir dalam pembikinan lagu raya masing-masing.

Cuma, apabila ramai kalangan komposer dan penyanyi generasi muda turut rancak menghasilkan lagu raya, wujud pula berbandingan antara lagu baharu atau lama yang mana lebih menarik dan sedap didengar.

Bagaimanapun, siapa dapat menyangkal sifat dan keutuhan lagu-lagu raya klasik yang berjiwa malar segar untuk didengari saban tahun.

Itu juga yang diakui oleh M Nasir saat soalan itu ditanyakan kepadanya baru-baru ini.

“Lagu-lagu raya baharu kini bagi saya kurang melodi, tetapi sangat catchy, mungkin sedikit bahagian daripada lagu atau seni katanya yang catchy.

“Tetapi kalau kita nyanyikan lagu-lagu raya yang bermelodi, orang kata kita lama. Bagi saya, lagu raya kena ada elemen kesyahduan. Dari segi bunyi kita susah nak cakap, tetapi dari segi bahasa, kesyahduan itu yang saya maksudkan.

“Tetapi lagu raya ini ia bukan untuk bersedih atau syahdu sahaja. Untuk gembira pun iya. Kalau kita ambil contoh daripada lagu-lagu Barat, begitu juga digunakan.

“Deskriptif seni katanya itu melahirkan kesyahduan dan keheningan hari raya,”katanya.

Kongsi M Nasir lagi, dia juga tidak menolak bahawa kelaziman lagu raya di Malaysia cenderung bersifat keagamaan.

Justeru, katanya, ia harus digubah dengan memahami maksud dan pengertian di sebalik perayaan itu sendiri.

Selain itu, kongsi M Nasir, lagu raya juga biasanya akan lebih diminati ramai sekiranya ia dimasukkan dengan elemen tradisi supaya ia ‘melekat’ di hati pendengar.

“Itu sebab bila tiba hari raya, semua orang akan terasa nak balik kampung. Sebab apa? Sebab tradisi itulah. Apa sahaja yang berkaitan dengan lagu raya, ia harus ada nilai tradisi.

“Lagu-lagu raya yang bersifat moden atau tiada nilai kesyah-duan itu, saya pun tak dapat nak katakan adakah ia boleh bertahan lama sebagaimana lagu raya zaman dahulu.

“Mungkin untuk beberapa tahun, ia mampu bertahan. Tetapi saya pun tidak boleh jangka,”katanya.

Konsert Cipta Raya

Sementara itu, masih berkisar tentang hari raya, M Nasir juga teruja mengumumkan penglibatannya dalam Konsert Cipta Raya yang bakal diadakan pada 13 April depan di Zepp Kuala Lumpur.

Menurut M Nasir, idea penganjuran konsert Cipta Raya itu muncul apabila lagu berjudul Satu Hari Di Hari Raya menjadi penutup tirai Konsert M N46IR Cipta 2 pada Oktober tahun lalu.

Justeru, ia memberi ilham buat Icon Entertainment untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Bakal menyanyikan kira-kira 20 lagu yang sesuai dengan tema konsert itu, M Nasir mengakui dia tidak menunggu lama untuk memberikan kata setuju bagi penganjur supaya mengadakan konsert berkenaan.

Ini kerana, katanya, konsert itu juga memberi peluang kepadanya untuk memperkenalkan lagu raya ciptaannya yang mungkin sebelum ini tidak diketahui ramai.

“Melalui konsert ini, saya dapat beritahu orang bahawa ada banyak lagu-lagu raya yang sebenarnya merupakan hasil ciptaan saya. Ia akan dipersembahkan dengan cara saya dan susunan muzik baharu.

“Saya harap dapat menyanyikan 20 lagu bersesuaian dengan konsep raya. Mungkin saya akan menyanyikan lagu daripada kumpulan Al Jawaher yang pernah saya ciptakan untuk mereka,”katanya.

Dalam pada itu, penganjur, Iman Tang berkata,pihaknya yakin konsert berkenaan akan mencipta kelainan kerana belum pernah perkara seumpama itu diadakan secara besar-besaran oleh seorang penyanyi.

“Apabila M Basir beritahu yang dia memiliki 15 lagu raya dendangannya termasuk ada yang dicipta untuk penyanyi lain, ia sekali gus memberi idea buat saya.

“Mengapa tidak diadakan sebuah konsert yang bertemakan lagu raya? Kalau orang tanya kenapa lagu raya? Jawapan saya ringkas sebab orang lain tak pernah buat, jadi saya buat.

“Sewaktu Konsert MN46IR Cipta 2, M Nasir persoalkan keperluan menyanyikan lagu Satu Hari Di Hari Raya bukan pada Syawal, tapi lihatlah bagaimana ia jadi fenomena selama berminggu-minggu,” katanya.

Menurut Iman Tang lagi, dia terlebih dahulu membuat kajian dan memikirkan kelebihan serta kekurangan penganjuran konsert sebelum idea dipersembahkan kepada M Nasir.

“Nak bentangkan sesuatu kepada M Nasir, kita kena buat ‘homework’ dahulu, perlu fikir masak-masak. Kami tak bercakap mengenai konsert tapi disampaikan oleh orang keliling dan tak sangka juga dia bersetuju.

“Pada konsert itu, M Nasir tidak hanya menyanyikan lagu nyanyian dan ciptaannya sendiri, tetapi juga bakal menyanyikan lagu raya kegemarannya daripada penyanyi lain,”ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN