JOHOR BAHRU: Sebuah ladang ternakan kambing mengalami kerugian dianggarkan hampir RM320,000 selepas premis mereka di sini ditenggelami banjir kilat pada petang, Khamis lalu.
Banjir yang berlaku sekitar pukul 2 petang itu naik dengan cepat, mencecah lebih 10 kaki lantas menyebabkan kemusnahan peralatan dan stok perniagaan.
Pengarah urusannya, Osman Cheyakutty berkata, walaupun haiwan ternakan terselamat kerana kandang terletak di kawasan tinggi, mereka tetap mengalami kerugian besar akibat kerosakan stok daging beku serta pelbagai peralatan perniagaan.
“Antara yang musnah termasuk dua lori, dua kereta, sembilan peti sejuk beku, dua bilik sejuk serta kelengkapan pejabat dan kediaman pekerja,” katanya.
Menurut Osman, mereka memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk membersihkan kawasan dan memulihkan operasi sebelum perniagaan dapat berjalan semula.
“Banjir berlaku terlalu pantas. Kami tidak sempat menyelamatkan banyak barang, hanya fokus kepada keselamatan diri,” katanya.
Osman menjangkakan Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut sederhana kerana fokus utama adalah memastikan operasi kembali pulih.
“Menjelang musim perayaan, permintaan daging kambing meningkat dan kami perlu segera bangkit dan memastikan ladang kembali beroperasi,” katanya. – UTUSAN