CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mencatat kutipan cukai langsung tertinggi berjumlah RM184.805 bilion pada tahun lalu, iaitu meningkat sebanyak RM1.465 bilion berbanding tempoh sama 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu sekali gus melonjakkan hasil pendapatan negara atas kecekapan badan itu untuk memastikan setiap warganegara memenuhi tanggungjawab membayar cukai tanpa terkecuali.
Beliau berkata, kerajaan tidak memberi ruang kepada mana-mana warganegara terutama di peringkat atasan dan golongan maha kaya untuk terlepas daripada membayar cukai kerana kebocoran itu tidak berlaku di peringkat rakyat bawahan.
“Ini mungkin julung-julung kali berlaku di mana tokoh-tokoh korporat utama tanpa kecuali semuanya diminta memenuhi tanggungjawab mereka membayar hasil.
“Dan saya selaku Perdana Menteri memberikan sokongan kuat sehingga tidak ada yang berani merayu kepada saya. Jadi ini menunjukkan integriti LHDN,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Hasil Ke-29 di sini, hari ini.
Anwar berkata, usaha memastikan pembayaran cukai tidak boleh diremehkan kerana pasukan penguat kuasa termasuk pengurusan tentunya tidak akan ada keberanian, sekiranya ia tidak mendapat dukungan oleh pemimpin.
“Kalau umpamanya (kutipan cukai dalam kalangan) Tun dan Tan Sri, mereka akan terus menghubungi golongan atasan (di LHDN). Dan orang yang mempunyai tanggungjawab itu mendapat tekanan.
“Saya tidak pernah guna kuasa untuk menyatakan kepada beliau (Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin), memberitahu kepada beliau untuk kurang memberi tekanan atau memenuhi tanggungjawab dan memilih bulu dalam melaksana tugas.
“Saya tegaskan semula betapa syukur kita kepada Allah dan bertuah dalam negara ini dapat mempertahankan integriti dalam satu lembaga utama negara kita iaitu LHDN,” katanya. – UTUSAN