Kusta: Lega orang luar makin faham sakit kusta - Pengerusi JPKK - Utusan Malaysia

Kusta: Lega orang luar makin faham sakit kusta – Pengerusi JPKK

Pengerusi JPKK Kampung Orang Asli Guntur, Adnan Sulak melakukan aktiviti harian seperti biasa ketika ditemui di perkampungan berkenaan, di sini, hari ini. FOTO/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Orang Asli Guntur, Adnan Sulak meluahkan rasa lega apabila masyarakat luar semakin memahami mengenai penyakit kusta.

Ujar Adnan, pada awal berita tersebar mengenai penyakit kusta di kampungnya dan kampung berdekatan iaitu Chergun, orang luar seolah-olah tidak mahu menerima kehadiran mereka di kedai dan juga pekan.

Menurutnya, senario itu membuatkan penduduk berasa tertekan serta kecewa, namun kini penerimaan masyarakat luar makin baik dan mereka juga sudah boleh makan dengan selesa di kedai atau membuat pembelian.

“Awal dulu, kalau nampak kita di luar kampung, mereka maklum jangan keluar. Tapi kita penduduk ni tak dikuarantin. Kini mereka semua dah makin faham dan terima kita ke kedai atau mana-mana tempat di luar kampung.

“Inilah yang kita mahukan dan kini kita juga semakin pulih dan akan terus memberikan kerjasama kepada mana-mana agensi untuk tujuan saringan bagi yang belum disaring,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di KOA Guntur di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Exco Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi berkata, sehingga 19 Februari lalu, seramai 368 daripada 460 penduduk di Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan Guntur di Kuala Pilah telah menjalani saringan kesihatan bagi mengesan kes kusta.

Malah menurut beliau, situasi kusta di perkampungan tersebut adalah terkawal dan berdasarkan pemantauan serta tindakan yang telah diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan, tiada keperluan untuk mengadakan pengasingan atau kuarantin terhadap penduduk di kawasan yang terlibat.

“Setakat ini, sebanyak sembilan kes telah disahkan sejak usaha ini dimulakan pada Julai 2024. Kesemua pesakit telah menerima rawatan mengikut garis panduan perubatan yang ditetapkan oleh KKM,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, saringan penyakit kusta itu berkemungkinan akan dilaksanakan dalam skala kecil di masa hadapan melalui pengesanan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya