KUSKOP lulus geran RM2.96 juta bantu perusahaan kecil masyarakat India

KUSKOP lulus geran RM2.96 juta bantu perusahaan kecil masyarakat India

Majlis ramah mesra bersama Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan serta Penyerahan surat tawaran kepada penerima I-BAP sempena hari terbuka hab PMKS di SME CORP hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, SME Corp. Malaysia telah meluluskan bantuan geran berjumlah RM2.96 juta kepada 48 perusahaan kecil milikan kaum India di bawah Business Accelerator Programme for Indian Small Business (I-BAP). 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan Ramakrishnan, program itu bertujuan untuk meningkatkan keupayaan syarikat milikan kaum India menerusi khidmat nasihat perniagaan dan sokongan kewangan dalam bentuk geran padanan sehingga RM100,000.

Katanya, permohonan telah dibuka pada tahun lalu bermula 7 Oktober  hingga 31 Oktober 2024. 

“Mengambilkira sambutan baik yang diterima daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), permohonan baharu untuk program ini akan dibuka semula mulai 7 April secara dalam talian. 

“Bantuan ini bagi membolehkan lebih ramai PMKS mendapat manfaat dengan kriteria kelayakan telah ditambah baik iaitu tiada ketetapan bagi had minimum jumlah jualan tahunan untuk memohon I-BAP. 

“Sebelum ini hanya perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM300,000 setahun sahaja yang layak memohon,” katanya ketika ditemui media di Majlis ramah mesra dan penyerahan surat tawaran kepada penerima I-BAP sempena hari terbuka hab PMKS di SME CORP di sini, hari ini. 

Tambah Ramanan, bagi mempercepatkan penyaluran geran, keutamaan akan diberikan kepada projek yang telah selesai dilaksanakan dan telah membuat pembayaran kepada pembekal bermula 1 Jun.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal  Datuk Nainy berkata, tahun lalu SME Corp itu telah menerima 81 permohonan di bawah I-BAP dengan dana sebanyak RM6 Juta. 

“Kami kekal komited dalam memberikan sokongan kepada PMKS agar lebih berdaya tahan. 

 “Berikutan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula pada tahun hadapan, penekanan akan diberi kepada usaha meningkatkan penskalaan PMKS bagi melonjakkan sumbangan mereka kepada ekonomi negara”, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya