Kurus sebab makan bila lapar, Shaheizy Sam ikut Rasulullah - Utusan Malaysia

Kurus sebab makan bila lapar, Shaheizy Sam ikut Rasulullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Shaheizy Sam, mendedahkan dia sudah berjaya menemui formula diet yang sesuai membolehkan dirinya menurunkan berat badan dengan mudah.

Bercerita lanjut, Sam atau Shaheizy Sam Abdul Samad, 42, hanya makan sekali sehari, ketika tubuhnya berada dalam keadaan benar-benar lapar seperti yang diamalkan Rasulullah.

“Saya selalu ambil pendekatan logik, ideal bagi saya adalah kita tidak perlu makan sampai tiga hingga empat kali. Ambil contoh seperti Rasulullah, baginda kadang hanya makan kurma sahaja tapi tetap sihat, menang juga di medan perang.

“Jadi, mengapa kita makan sehari sekali pun tidak boleh? Ada juga yang pertikaikan tidak cukup nutrisi, tapi saya tanya semula, berapa kiraan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh saya?

“Saya sudah buat perkara ini lebih 10 tahun, ada nampak saya sakit? Badan saya sudah beradaptasi dengan kaedah ini. Cara ini pun saya lakukan selepas merujuk kepada pakar diet.

“Kalau selagi anda mampu,buatlah. Jika tidak mampu, tidak perlu,” katanya mengulas mengenai penurun berat badan sebanyak 19 kilogram.

Tidak hanya makan sekali sehari, malah pelakon Polis Evo itu juga memastikan dia mengambil lebih banyak protein dan sayur-sayuran dalam pemakanan.

“Memang saya ada pantang makan. Rasanya ramai bersetuju apabila saya kata karbohidrat adalah punca membuatkan tubuh kita ketagih.

“Ramai tidak boleh makan sehari sekali sebab mereka ketagih, kadang mahu makan benda manis yang dilimpah coklat. Bagi saya, karbohidrat memang saya kurangkan cuma lebihkan protein dan sayur kerana itu penting,” jelasnya.

Sebelum ini, berat pemenang dua kali Anugerah Bintang Popular 2012 dan 2014 itu pernah mencecah sehingga 96 kilogram namun berjaya turun sehingga 77 kilogram dengan hanya pemakanan dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun, menurut Sam, berat badannya boleh turun lebih cepat sekiranya dia melakukan senaman dan bersukan.

“Sebelum ini yang saya naik berat badan disebabkan komitmen saya untuk sebuah filem Badak. Tapi saya dapat satu lagi tawaran berlakon membuatkan saya kuruskan tubuh. Sayangnya filem tersebut terpaksa ditangguhkan penggambaran.

“Sebenarnya saya jenis tidak suka timbang berat, kerana alat itu hanya timbang berat dan bukannya lemak dalam tubuh. Dalam tiga bulan saya jaga pemakanan.

“Proses ini akan lebih cepat sekiranya saya pergi ke gim atau jogging. Saya sudah cuba banyak jenis diet, kini saya sudah jumpa cara yang sesuai dan sudah amalkan diet ini selama 10 tahun,” jelasnya.

Sam ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media filem Felino di Eastin Hotel, baru-baru ini.

Terdahulu, Sam mencuri tumpuan apabila mudah menurunkan berat badan di samping rajin berkongsi mengenai perjalanan kesihatannya di sesi siaran langsung di TikTok. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya