MELAKA: Kuota permohonan tambahan program Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk setiap negeri bergantung kepada prestasi bayaran bulanan pemilik kediaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Mohd. Jamil Idris berkata, prestasi setiap negeri akan terjejas sekiranya pemohon-pemohon RMR yang telah siap gagal melunaskan komitmen mereka.
Beliau berkata, kutipan yang konsisten dapat membantu SPNB memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan.
“Sejak RMR diperkenalkan SPNB telah berjaya membantu 69,848 keluarga di seluruh negara untuk memiliki rumah sendiri manakala hampir 13,000 permohonan lagi masih dalam senarai menunggu. Jadi (sebelum) kita hendak beri peruntukan kepada negeri, kita perlu lihat prestasi (kutipan) dahulu.
“Jadi saya merayu kepada pemohon-pemohon RMR yang telah berjaya supaya buat pembayaran agar kita dapat memohon peruntukan tambahan kepada negeri-negeri yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat dan Penyerahan Surat Tawaran RMR 2025 Sesi 2 Melaka di sini, semalam.
Seramai 106 pemohon menerima surat tawaran RMR yang disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem.
Mohd. Jamil berkata, stigma masyarakat terhadap fungsi SPNB sebagai sebuah badan kerajaan menyebabkan pemohon RMR yang telah siap culas membuat bayaran.
Menurutnya, mereka beranggapan kos pembinaan berjumlah RM55,000 yang dibiayai itu adalah bantuan kerajaan sedangkan kos tersebut perlu dibayar oleh pemohon.
“Kos sebenar adalah RM75,000 manakala kerajaan memberikan subsidi RM20,000. Jadi kita agak kesal dengan sikap segelintir pemohon seperti ini.
“Sebenarnya masih ada ruang untuk perbincangan sebelum mereka dikenakan tindakan. Jika mereka masih berdegil SPNB negeri terpaksa mengeluarkan surat (perintah) mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN