Kritiklah nyanyian saya, saya okey - Syafinaz

Kritiklah nyanyian saya, saya okey – Syafinaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA yang menghairankan jika penyanyi yang satu ini sering menjadi pilihan untuk menjurikan pertandingan nyanyian. Kelayakan beliau menggalas peranan tersebut tidak perlulah dipersoalkan.

Pembabitan sebagai penyanyi profesional bermula pada penghujung era 80-an, Datuk Syafinaz Selamat kini mengumpul 36 tahun pengalaman dalam bidang seni suara.

Sepanjang tempoh berkenaan, anak kelahiran Pontian, Johor ini turut memikul tugas penting dalam dunia akademik.

Antaranya sebagai Pensyarah Vokal Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi MARA selain bergelar pensyarah dan ahli lembaga pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Namun, secemerlang dan seteguh mana pun latar belakang dan pencapaian beliau, Syafinaz tetap ‘terikat’ dengan kritikan pihak yang meragui atau tidak sependapat dengan beliau.

Bahkan sebelum ini persembahan beliau pernah dikritik hebat netizen susulan kemunculan beliau dalam sebuah program terbitan stesen televisyen tempatan yang ditayangkan tidak lama dahulu.

Ketika berkongsi pandangannya mengenai perkara tersebut, Syafinaz ini mengikut resmi padi yang makin tunduk, makin berisi. Beliau tidak pun melenting dalam memberi penjelasan, malah menunjukkan sikap semakin berilmu, semakin merendah diri.

“Saya sudah berada dalam dunia seni untuk tempoh yang sangat lama, begitu juga sebagai juri pertandingan nyanyian. Jadi pengalaman tiga dekad dalam bidang ini mengajar saya untuk menjadi manusia yang kuat semangat.

“Sebagai penyanyi, saya bersedia sekiranya nyanyian saya dikritik dan dijurikan kerana ia akan sentiasa berlaku. Bagus mana pun persembahan dan nyanyian seseorang itu, tetap akan ada pihak yang tidak menyukainya.

“Jadi, dalam menghadapi situasi ini, saya harus kuat semangat, tebalkan muka, kuatkan jantung dan yang paling penting, kenal pasti harga diri kita di tahap yang mana.

“Saya tetap yakin dan percaya dengan kemahiran saya walaupun pelbagai kritikan dilayangkan terhadap nyanyian saya,” katanya.

Kita dan Syafinaz meniti jalan yang sama. Dikritik orang adalah perkara yang kita juga hadap dalam kehidupan seharian kita. Jadi tentu sekali, kita juga berada dalam ‘kasut’ Syafinaz Selamat yang maklum beliau tidak akan dapat menggembirakan semua orang.

“Kritiklah nyanyian saya, saya okey. Seorang Syafinaz Selamat tidak mungkin dapat puaskan hati semua orang. Kita ini diberikan pilihan, jika tidak gemar dengan penyanyi ini, bolehlah dengarkan penyanyi yang lain.

“Dan saya tidak pernah kisah kalau ada pihak yang menghentam nyanyian saya. Lebih-lebih lagi dalam kebanyakan persembahan, lagu yang saya bawakan bukanlah yang berbahasa Melayu, jadi mungkin ada yang tak faham.

“Sebaik manapun persembahan saya, pasti ada pihak yang tidak berkenan. Jadi, saya harus percaya dengan diri saya sendiri,” katanya.

LUNAS PERMINTAAN PEMINAT
2025 menyaksikan kemunculan pertama kalinya penyanyi berusia 52 tahun ini di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas bagi konsert Classical Treasures.

Buat julung kali juga Syafinaz bakal bergabung kepakaran dengan konduktor residen Orkestra Filharmonik Malaysia kelahiran Filipina, Gerard Solenga.

Keduanya bakal berkongsi pentas pada 5 April ini. Dan pada konsert itu nanti, Syafinaz bakal melunaskan permintaan peminat yang sekian lama mahukan beliau menyanyikan lagu The Magic Flute-Queen of the Night Aria yang kini popular hasil penangan drama Korea, Penthouse.

“Saya sebelum ini banyak menerima permintaan untuk menyanyikan lagu ini. Jadi, pada konsert ini nanti saya lunaskan bersama sebuah karya agung, Romeo and Juliet ciptaan Gounod.

“Penyanyi opera juga perlu mahir berlakon kerana ada watak dan karakter pada lagu yang dinyanyikan. Jadi pada malam itu, penonton akan melihat lakonan dalam nyanyian saya, membawakan dua karakter berbeza bagi kedua-dua lagu yang saya persembahkan.

“Saya teruja dan tidak sabar menantikan malam istimewa itu nanti. Saya sifatkan persembahan saya kali ini lebih mencabar dan menyeronokkan,” katanya.

Mengulas tentang pemilihan Syafinaz sebagai solois untuk konsert berkenaan, Gerard menyifatkan penyanyi itu sebagai ‘paling layak’ bagi peranan yang diberikan.

“Tentu sekali kita kenal siapa Syafinaz Selamat, tapi saya tidaklah mengenali beliau secara peribadi.

“Untuk konsert ini, kami bukan mencari penyanyi yang sekadar boleh menyanyikan lagu-lagu klasik opera, tetapi juga mampu mempersembahkan strukturnya dengan baik.

“Jadi, kami berpandangan, Syafinaz penyanyi yang paling layak untuk menggalas tugas tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya