LOS ANGELES: Pelakon, Matt Lucas tampil memohon maaf kepada aktres, Millie Bobby Brown selepas mengkritik penampilan terkininya yang berambut perang.
Permohonan maaf tersebut telah dimuat naik oleh Lucas menerusi platform media sosialnya selepas Millie memberikan kenyataan balas terhadap kritikan tersebut.
“Kepada Millie yang dihormati, saya baru sahaja melihat perkongsian anda dan ingin membalas, serta memberikan beberapa kenyataan.
“Hampir 25 tahun yang lalu saya menulis bersama dan muncul dalam rancangan lakaran yang dipanggil ‘Little Britain.’ Terdapat watak di dalamnya dipanggil Vicky Pollard, yang berambut perang dan sentiasa memakai baju berwarna merah jambu.
“Dan di dalam foto itu anda mempunyai rambut berwarna perang dan memakai baju merah jambu. Jadi saya menunjukkan persamaan tersebut dengan memuat naik salah satu frasanya,” katanya.
Dalam pada itu, Lucas memberitahu dia tidak berniat untuk mengkritik penampilan pelakon drama bersiri Stranger Things itu seperti yang terpampang di dada akhbar.
“Saya fikir anda kelihatan hebat dan saya berasa malu apabila akhbar menulis bahawa saya ‘menghentam’ anda. Pertama kerana itu bukan gaya saya dan kedua kerana saya rasa anda hebat.
“Saya tidak akan menyiarkannya jika saya fikir ia akan menggusarkan anda tetapi saya sedar ia telah berlaku dan untuk itu saya memohon maaf,” jelasnya.
Sebelum ini, penampilan Millie, 21, telah menjadi bualan hangat selepas mewarnakan rambutnya seolah-olah memberi gambaran dia akan melakonkan sebuah naskhah biopik Britney Spears.
Namun, perubahan itu turut meraih kecaman yang menyifatkan penampilan tersebut menampakkan dirinya lebih tua dari usianya.
Susulan itu, Millie yang telah memulakan kerjayanya seawal usia 10 tahun itu menyifatkan kritikan tersebut sebagai buli dan meruntuhkan semangat seorang remaja perempuan yang sedang meningkat dewasa.
“Saya dibesarkan di hadapan dunia, dan atas sebab tertentu, ada sesetengah pihak nampaknya tidak boleh ikut berkembang bersama saya.-
“Sebaliknya, mereka bertindak seperti saya perlu kekal sama seperti sewaktu saya membintangi l Stranger Things musim pertama. Dan sekarang kerana saya tidak melakukannya, saya menjadi sasaran.”
“Saya enggan meminta maaf kerana membesar. Mari kita lakukan lebih baik. Bukan hanya untuk saya, tetapi untuk setiap gadis muda yang layak untuk membesar tanpa rasa takut dirobek kerana wujud semata-mata,” kata Millie.-UTUSAN