PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertingkatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan menjelang musim perayaan bagi mengelakkan ketirisan barangan bersubsidi.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kementeriannya mengaktifkan kerjasama dengan agensi sedia ada khususnya Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi meningkatkan kawalan di sempadan negara.
“Kita maklum apabila menjelang musim perayaan barang keperluan harian amat diperlukan oleh rakyat kita dan pastinya di negara-negara sempadan juga memerlukannya. Jadi, risiko untuk berlaku penyeludupan dan penyelewengan memang ada.
“Itu sebabnya kita tingkatkan Op Pantau di dalam negara dan Op Tiris di sempadan-sempadan kita untuk mengekang sebarang unsur-unsur yang terlibat dengan aktiviti ketirisan, penyeludupan mahupun penyelewengan ini,” katanya semasa Program Servis Ihsan Madani@ Petronas Autoexpert (Sim@Pax) Hari Raya Aidilfitri di sini semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri turut mengarahkan kementerian itu untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025.
Mengulas program itu, Armizan berkata, program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Petronas itu akan dapat membantu menangani isu kos sara hidup rakyat khususnya mereka yang ingin melakukan servis kenderaan menjelang musim perayaan.
Melalui program Sim@Pax itu, pengguna boleh membuat tempahan untuk servis kenderaan bermula 15 hingga 29 Mac dengan menggunakan aplikasi Setel. Jadi, diharapkan agar rakyat boleh memanfaatkan program Sim@Pax berkenaan. – UTUSAN