PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menambah lebih banyak lagi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negara di minggu terakhir Ramadan bagi memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan dan membuat persiapan hari raya.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu akan dilipat gandakan dengan memberi fokus terhadap kawasan-kawasan yang mempunyai ramai golongan sasar bagi membantu meringankan beban mereka.
Menurut beliau, program yang dilaksanakan sejak 17 Mac lalu hingga Ahad ini merangkumi sebanyak 723 siri yang menawarkan harga barangan unit simpanan stok (SKU) dengan kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.
“PJRM ini mendapat sambutan yang cukup baik sebab itu kita aturkan sebanyak yang mungkin siri program berkenaan di seluruh negara khususnya di kawasan golongan sasar, kita akan tambah lagi kekerapannya.
“Sekarang ini penjadualanya adalah sebanyak 723 siri (tetapi) saya sebut kepada KSU (Ketua Setiausaha) supaya kita tambah lagi di minggu terakhir ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Ihya Ramadan KPDN 2025 di sini hari ini.
Armizan turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan turun padang Khamis ini bagi meninjau dan membuat pemantauan harga SKU yang terlibat dengan PJRM.
Terdahulu dalam majlis itu, KPDN melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat SSM berupa 34 unit mesin dialisis bernilai RM1.3 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad.
Melalui sumbangan tersebut, SSM mengagihkan 28 unit mesin dialisis kepada 25 hospital serta klinik kerajaan terpilih, manakala enam unit disalurkan kepada enam Pusat Dialisis Waqaf An-Nur.
Sepanjang tahun 2024, SSM melalui Wakalah Zakat Korporat mereka telah mengagihkan dana bernilai RM7,495,570.10 kepada 11,242 penerima, manakala dari 1 Januari hingga 28 Februari 2025 lebih RM455,000 telah disumbangkan kepada 2,229 penerima asnaf di seluruh negara. – UTUSAN