IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di semua lokasi tumpuan sempena Ramadan dan Aidilfitri selepas negeri ini merekodkan jumlah kes tertinggi dalam Op Pantau 2025.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemantauan akan dijalankan setiap hari di bazar dan premis perniagaan termasuk kedai runcit oleh 195 penguatkuasa dan 75 pegawai pemantau harga yang ditugaskan sepanjang operasi tersebut dikuatkuasakan.
Katanya, sehingga semalam, sebanyak 1,051 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negeri dan berjaya menghasilkan 11 kes membabitkan rampasan berjumlah RM84,000.
“Penguatkuasaan ini dilaksanakan dengan membuat pemeriksaan dan pemantauan secara kerap dan bersasar ke atas harga barang yang menjadi tumpuan orang ramai pada bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti.
“Antara barang yang menjadi tumpuan supaya mempunyai tanda harga ialah gula, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barang basah dan barangan untuk membuat kuih,” katanya pada sidang akhbar sempena Sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Cempaka dan Program Mysavefood Ramadan di sini hari ini.
Menurut beliau, daripada 11 kes yang dilaporkan itu, masing-masing lima kes bagi kesalahan tiada tanda harga dan alat timbang atau sukat yang tidak ditentukan atau tamat tempoh selain satu kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 iaitu menjual barang tiruan.
Katanya, jumlah kompaun terkumpul bagi 11 kes tersebut ialah sebanyak RM3,800.
“Setakat ini juga kita tidak menerima aduan berkaitan kenaikan harga di bazar Ramadan, cuma ada dua aduan melibatkan kes harga makanan yang mengelirukan.
“Mungkin harga yang dipamerkan lain dan bila ‘scan’ untuk bayar, harganya jadi lain. Dua aduan ini diterima membabitkan bazar Ramadan di Stadium Perak,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, 10 lokasi BRR dilaksanakan tahun ini iaitu di Taman Cempaka; Taman Perpaduan, Tambun; Puncak Bougainvillea, Kuala Kangsar; bersebelahan Bank OCBC, Teluk Intan dan Simpang Empat Hutan Melintang.
“Selain itu, BRR turut diadakan di Pekan Gerik; Kamunting; di hadapan pejabat Majlis Daerah Tapah; belakang Stadium Majis Perbandaran Manjung (MPM) dan Dewan Kerian Perami, Parit Buntar.
“Sepanjang Ramadan ini, setiap lokasi akan dilaksanakan lapan kali BRR di mana seramai 52,000 pengunjung berpeluang menerima insentif melalui Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) sebanyak RM20 seorang melalui e-wallet untuk berbelanja di sana,” katanya.- UTUSAN