MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan semua produk minyak enjin kenderaan bermotor yang dijual perlu mempunyai label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. berkuat kuasa 7 April depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu bagi membendung dan membanteras aktiviti jualan produk tiruan minyak enjin kenderaan.
“Bagi membendung dan membanteras aktiviti ini semua produk minyak enjin kenderaan bermotor yang dijual perlu mempunyai label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. berkuat kuasa 7 April depan. Perintah ini bertujuan melindungi kepentingan pengguna dan industri.
“Sebelum ini pengguna tidak mempunyai mekanisme untuk mengenal pasti ketulenan produk yang dijual. Dengan adanya aplikasi (label) SIRIM tersebut pengguna termasuk bengkel-bengkel boleh menentukan sendiri produk yang dibeli atau diterima tiruan atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Motor Bagi Benderaan Motor) 2024 di Loji Petronas Melaka Lube Blending di sini hari ini.
Tambah Armizan, perintah tersebut turut terpakai untuk produk minyak enjin motor dari luar negara yang diimpott masuk oleh pembekal.
Menurutnya, KPDN telah memberi tempoh enam bulan kepada semua pihak untuk mengambil tindakan sewajarnya sejak perintah itu diwartakan pada 11 Oktober tahun lepas.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar dan penjual yang menjual produk tidak diperakukan serta tiada label pematuhan yang sah daripada pihak berkuasa.
“Mana-mana orang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau keduanya sekali,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, KPDN telah merampas pelbagai produk tiruan minyak enjin kenderaan motor berjumlah RM1.15 juta bagi tempoh Januari 2019 hingga Februari lalu.
Armizan berkata, bagi tempoh sama sejumlah 240 aduan berkaitan produk minyak enjin telah diterima dan disiasat serta sebanyak 36 kes telah diambil tindakan.
Jelasnya, saban tahun aduan diterima KPDN berkaitan produk tersebut menunjukkan trend menaik sama ada melalui penguatkuasaan atau aduan orang awam serta syarikat pengeluar. – UTUSAN