PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan minyak masak botol di pasaran mencukupi untuk digunakan rakyat bagi menyambut bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri dan Pesta Gawai.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sehubungan itu, intervensi dilakukan bagi memberi insentif khas kepada syarikat-syarikat pembungkus agar pengeluaran minyak masak botol tidak terganggu sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan ini.
“Sekurang-kurangnya bekalan cukup pada bulan Ramadan, Syawal dan juga semasa Pesta Menuai atau Pesta Gawai. Tiga bulan ini adalah tempoh yang kritikal jadi, kita tidak mahu ada isu dengan bekalan.
“Kita akan buat formula mekanismenya dan akan berjumpa dengan syarikat-syarikat pembungkus ini pada awal minggu depan bagi menandatangani perjanjian untuk menerangkan apa mekanisme digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Servis Ihsan Madani@ Petronas Autoexpert (Sim@Pax) Hari Raya Aidilfitri serta Ikhlas Ramadan bersama Gas Petronas, hari ini.
Beliau berkata, sebaik keputusan dibuat semalam, KPDN telah mula berhubung dengan syarikat-syarikat pembungkus dan mereka berusaha untuk mengembalikan pengeluaran minyak masak botol kepada paras normal.
Katanya, syarikat-syarikat itu tidak lagi menunggu sehingga minggu depan susulan pengumuman yang dibuat malah memberi komitmen bermula hari ini untuk kembalikan pengeluaran mereka.
Menurut beliau, KPDN bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kewangan dan syarikat-syarikat besar akan mengenal pasti langkah penyelesaian jangka panjang berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah (CPO).
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kesemua kementerian itu telah diminta oleh Perdana Menteri untuk menetapkan formula bagi mencari kaedah penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu bekalan minyak masak botol.
Pada masa ini, kerajaan masih membantu meletakkan harga siling maksimum minyak masak botol pada kadar RM30.90 untuk minyak masak lima kilogram (kg) sedangkan harga pasaran adalah RM36.16.
“Kami maklum kekangan yang dihadapi oleh syarikat-syarikat ini jadi, kita akan fikirkan jalan penyelesaian jangka panjang bagi mengimbangi keperluan industri, keperluan rakyat khususnya kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN