KPDN buka 48 kertas siasatan beras campur

KPDN buka 48 kertas siasatan beras campur

KPDN melaksanakan OP Campur di seluruh negara. - GAMBAR IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka sebanyak 48 kertas siasatan terhadap premis pengilang dan pembungkus yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencampur beras putih tempatan dengan beras import pada hari pertama pelaksanaan Ops Campur, semalam.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, menerusi operasi yang dijalankan itu, sebanyak 213 premis diperiksa dengan hampir 300 kampit beras yang disyaki dicampur telah disita untuk tindakan lanjut.

“Setakat semalam, kita telah membuat pemeriksaan ke atas 213 premis pembungkus dan juga kilang di seluruh negara dan membuka 48 kertas siasatan dengan melibatkan nilai rampasan sampel melebihi RM15,000.

“Sitaan ini bertujuan sebagai pensampelan dan penentuan kualiti yang akan dikemukakan kepada Jabatan Kimia Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI),” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Azman, Ops Campur dilancarkan di seluruh negara bermula semalam susulan pendedahan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI berkenaan 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa didapati dicampur dengan beras putih tempatan.

Justeru, katanya, KPDN mengambil langkah segera dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas beras tempatan dan import di peringkat pengilang bagi memastikan aktiviti percampuran beras tersebut dapat dibanteras ke atas rantaian pembekalan yang terlibat.

“Menteri KPDN, Datuk Armizan Ali telah memulakan inisiatif untuk menyelesaikan masalah ini dengan mengadakan perjumpaan khas bersama dengan MARDI dan seterusnya mengarahkan Ops Campur dilaksanakan serta-merta,” katanya. 

Dalam pada itu, Azman berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kira-kira 2,000 premis pengilang dan pembungkus di seluruh negara dalam masa terdekat dalam usaha membanteras kegiatan tersebut.

Katanya lagi, KPDN juga telah mengerahkan seramai 2,400 pegawai penguatkuasa menerusi operasi tersebut bagi mendapatkan sampel-sampel beras yang disyaki dicampur.

“Objektif utama kita laksanakan Ops Campur ini adalah untuk membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik agenda padi dan beras negara. 

“Dalam masa sama, kita hendak pastikan pengguna yang makan nasi setiap hari ini mendapat bekalan beras yang sepatutnya dengan nilai dibayar.

“Kita juga meletakkan sasaran untuk memeriksa kesemua premis pembungkus termasuk pengilang di seluruh negara yang melibatkan semua negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Ditanya berkenaan tempoh analisa bagi 300 kampit beras yang disyaki dicampur itu akan diketahui, Azman menjelaskan, agensi terlibat memerlukan sedikit masa untuk menganalisa sampel-sampel tersebut berikutan prosesnya yang agak kompleks. 

“Pihak MARDI akan melihat dari segi DNA beras dan bagi sesuatu sampel itu mereka memerlukan masa sekitar tiga minggu (untuk diketahui).

“Selepas menerima keputusan dari MARDI dan Jabatan Kimia, kami akan membuat rujukan kes itu kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya. Kita juga hendak pastikan, sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah kita tidak berdepan masalah perundangan kerana dari segi pembuktian kita telah mengikut segala peraturan ditetapkan,” katanya.

Azman berkata, penguatkuasaan Ops Campur merangkumi perundangan di bawah  Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), iaitu tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta 730. 

Jelasnya, individu yang melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM250,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya