PONTIAN: Kerja-kerja awalan bagi projek pembesaran Hospital Pontian ( HP ) disini, selesai dijalankan pada tahun lalu dengan kos kira-kira RM800,000.
Timbalan Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja termasuk mengenal pasti tapak cadangan yang sesuai, kajian kesesuaian tanah dan reka bentuk bangunan.
Katanya, tapak terbaharu yang dicadangkan termasuk perobohan kuarters kakitangan sedia ada dan diganti dengan sebuah blok bangunan kuarters baharu bersama blok bangunan hospital.
“Ini bermaksud terdapat dua blok bangunan, satu blok untuk kuarters kakitangan dan satu blok bangunan hospital yang menempatkan 100 buah katil,” katanya ditemui pada Hari Terbuka Parlimen Pontian di Dewan UMNO Pontian di sini, hari ini.
Beliau mengulas perkembangan projek pembesaran Hospital Pontian yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Dalam ucapan Belanjawan 2023 pada Februari 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM36.3 bilion untuk sektor kesihatan.
Melalui peruntukan ini juga, kerajaan akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Pontian yang sudah berusia hampir seabad.
Sebelum ini Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek membina dua blok bangunan empat tingkat yang baharu itu membabit pertambahan 150 buah katil.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, beliau telah diberikan taklimat oleh Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan (CKK), Kementerian Kerja Raya (KRR), Ir. Abu Bakar Abd, Aziz mengenai kerja-kerja awalan tersebut minggu lepas.
“ Manakala Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Suraini Ahmad juga telah mengutuskan surat kepada saya mengenai perkembangan terbaharu HP ini,” tambah beliau.
Pihaknya juga mengakui kemajuan projek tersebut agak perlahan dan diharapkan dapat dipercepatkan kerana projek itu ditunggu oleh kira-kira 240,000 penduduk Pontian.
“Setelah selesai kerja-kerja awalan ini, disusuli dengan pengesahan akhir reka bentuk bangunan sebelum tawaran tender dibuka,” jelas beliau.
Ditanya kos bagi projek itu sama ada kekal RM150 juta sebelum ini atau ada penambahan, Ahmad memberitahu kos pembinaan dijangka meningkat tetapi tidak melebihi RM200 juta.
“Kadar kiraan bagi satu katil juga telah meningkat kepada RM2 juta berbanding RM1 juta sebelum ini dan memungkinkan berlakunya peningkatan kos pembesaran hospital itu,” ujarnya.