KUALA LUMPUR: Dalam meneruskan inisiatif berkongsi rezeki, Attana Hotels & Resorts (Attana) menyampaikan 500 pek makanan dan barangan kering kepada golongan gelandangan.
Sumbangan disampaikan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), PERTIWI Soup Kithen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Turut menyertai program serahan 250 pek makanan dan 250 kit barangan kering ialah Keluarga Nilam yang terdiri daripada bekas-bekas jemaah haji.
Menurut Pengurus Besar Attana Hotel dan Resort Sdn Bhd, Mohd. Iqmal Muslim, golongan gelandangan dipilih kerana mereka merupakan satu komuniyi yang wajar didekati dan perlu dibantu.
“Sebagai satu entiti yang terlibat dalam bidang penyediaan makanan dan minuman, telah menjadi sebahagian usaha kami untuk berkongsi rezeki.
“Ini merupakan tahun kedua kami melaksanakan program ini. Sebanyak enam hotel dan dua kelab golf di bawah Attana, menjalankan program komuniti tersendiri pada Ramadan ini,” katanya Program Pengagihan Makanan di Chow Kit di sini semalam.
Pada hari sama, Attana turut menjemput 60 kanak-kanak daripada Rumah Perlindungan Nur Qaseh, Taman Melawati dan Akademi Hadis & Tahfiz AlQuran Sains AlHussin, Wangsa Melawati di sini untuk berbuka puasa.
Kanak-kanak tersebut turut diberikan sumbangan duit raya bagi menceriakan Aidilfitri mereka. – UTUSAN