REMBAU: Senyuman manis penduduk daerah ini termasuk dalam kalangan murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Rembau di sini terukir apabila mereka menerima bubur lambuk secara pandu lalu di pekarangan pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Cawangan Rembau, di sini, hari ini.
Pengagihan tersebut menerusi program Kongsi Berkat Bubur Lambuk yang dianjurkan syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) dan Media Mulia Sdn. Bhd. dengan kerjasama JHEAINS Rembau.
Selain menerima bubur lambuk, pelajar istimewa yang ditemani ibu bapa serta penjaga masing-masing itu juga menerima duit raya serta barangan eksklusif Mahsuri Dagang dan Media Mulia.
Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk itu telah diagihkan bersama oleh Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin; Pegawai Agama Islam Daerah Rembau, Ahmad Hilal Kasim; Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd. Wahid Idris; serta pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, pihaknya telah memilih JHEAINS Rembau sebagai lokasi terakhir bagi program pengagihan bubur lambuk tersebut.
“Program terakhir ini adalah fasa ketiga bersama Media Mulia. Bagi Mahsuri Dagang sendiri, ini adalah pengagihan kali ke lima dan secara keseluruhannya kami telah mengagihkan sebanyak 24,000 bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan ini.
“Istimewanya hari ini kami bersama JHEAINS di Rembau yang menjadi bukti bahawa produk Mahsuri Dagang adalah halal. Semua produk kami juga sesuai dengan selera masyarakat di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Hilal menyambut baik usaha syarikat korporat seperti Mahsuri Dagang serta Media Mulia dalam menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadan dengan aktiviti bersedekah makanan.
“Selain berkongsi rezeki, kakitangan, ahli NGO serta kakitangan syarikat korporat juga dapat berkongsi pahala membuat kerja-kerja amal seperti ini.
“Kita akan agihkan ke beberapa agensi bagi mengeratkan hubungan serta berharap agar program bermanfaat seperti ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang bagi berkongsi rezeki,” katanya. – UTUSAN