PUTRAJAYA: Semua warganegara Malaysia di Sudan Selatan diminta berwaspada berikutan situasi semakin meruncing di negara itu ekoran konflik bersenjata berterusan dan peningkatan ancaman keselamatan di negara tersebut.
Dalam situasi tegang ini, Kementerian Luar meminta mereka mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela sekiranya merasakan keselamatan mereka terancam.
Pada masa ini, katanya, terdapat 55 warganegara Malaysia di Sudan Selatan, selain 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berkhidmat dalam misi United Nations Police (UNPOL) di sini dan kesemua mereka dilaporkan selamat.
“Kementerian Luar Negeri, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, sedang memantau rapat situasi keselamatan yang semakin merosot di Sudan Selatan.
“Kedutaan juga terus berkomunikasi dengan pihak UNPOL bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pegawai PDRM yang sedang bertugas di negara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Luar turut menasihatkan supaya semua perjalanan ke Sudan Selatan ditangguhkan buat masa ini kerana situasi yang tidak menentu di negara tersebut.
Katanya, semua warganegara Malaysia di Sudan Selatan dimohon untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, bagi memastikan mereka menerima maklumat terkini dan bantuan sewajarnya.
“Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya boleh dihubungi melalui:
Alamat: 611, Runda Grove, Runda, P.O. Box 42286-00100, Nairobi
Nombor telefon: +254 111 052710 (office)
+254 741 603952 / +254 704 770367 (mobile). – UTUSAN