Kondominium jadi pusat panggilan ‘job scam’ digempur

Kondominium jadi pusat panggilan ‘job scam’ digempur

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah unit kondominium di Cyberjaya, Selangor yang dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan tawaran pekerjaan atau ‘job scam’ digempur dalam satu serbuan pada 13 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan yang dijalankan itu membawa kepada penahanan tujuh individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia 22 hingga 36 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua suspek bertindak sebagai operator pusat panggilan yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warganegara Hong Kong. 

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah tujuh komputer riba, 11 telefon bimbit, satu router serta satu rangkai kunci dan kad akses,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak setahun lalu dan terlibat dalam aktiviti lapisan kedua (second layer) penipuan job scam. 

“Mereka mengarahkan mangsa melakukan tugasan tertentu sebelum memperoleh pulangan sebanyak 20 peratus daripada jumlah wang yang dibayar.

“Lebih mengejutkan, tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan perjudian, dadah dan penipuan, manakala setiap operator sindiket itu menerima gaji kira-kira RM4,000 sebulan,” katanya. 

Tambah Ramli, kesemua suspek direman kali pertama dari 14 hingga 17 Mac sebelum disambung reman pada 18 hingga 19 Mac. 

“Mereka bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini mengikut Seksyen 120(B)(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 dan 34 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemilik premis agar lebih bertanggungjawab dan mengambil tahu aktiviti penyewa bagi mengelakkan unit mereka dijadikan markas penipuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya